KOTA KINABALU: Seramai 320,912 murid sekolah rendah dan 215,483 pelajar sekolah menengah kerajaan di Sabah hadir pada hari pertama, sesi persekolahan penggal ketiga 2021/2022, hari ini.

Menurut Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah, Datuk Dr Mistirine Radin, jumlah itu melibatkan 1,075 sekolah rendah dan 218 sekolah menengah kerajaan di negeri ini.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan bahawa terdapat tiga sekolah yang menangguhkan operasi mereka kerana masih dilanda banjir atau sedang menjalankan kerja-kerja pembersihan.

"Sekolah yang terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Penontomon, Pensiangan membabitkan seramai 69 murid; SK Pantai Boring, Beluran, 85 orang dan prasekolah SK Lago, Beaufort 15 murid.

"Murid-murid akan mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) mulai hari ini sehingga sekolah selamat dan bersih untuk persekolahan bersemuka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, sekolah-sekolah swasta di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga turut beroperasi hari ini.

Jelasnya, sekolah swasta di Sabah yang berdaftar dengan KPM membabitkan 18 sekolah rendah dengan 1,075 murid dan 20 sekolah menengah dengan 6,074 pelajar.